ANDA mungkin sedia maklum bahawa Volvo merancang untuk hanya menjual kereta elektrik menjelang 2030. Menjelang 2040 pula, ia mensasarkan untuk menjadi sebuah syarikat neutral iklim.
Bagi mencapai matlamat-matlamat berkenaan, pengeluar kenderaan dari Sweden itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan produksi semua model diesel menjelang awal 2024.
Ini bakal menjadikan Volvo antara pengeluar kenderaan pertama di dunia yang mengambil langkah demikian.
Pengumuman terbaru ini adalah susulan keputusan Volvo untuk menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman (ICE) baharu yang diumumkan pada November tahun lalu.
Menurut Volvo, mereka telah menjual semua pegangan sahamnya di dalam Aurobay, sebuah syarikat trenkuasa yang dibangunkan dengan kerjasama Geely pada 2021.
Volvo EX30
“Trenkuasa elektrik adalah masa depan kami, dan lebih hebat berbanding enjin pembakaran: ia lebih senyap, kurang getaran, lebih murah untuk diselenggara dan tidak menghasilkan sebarang pelepasan,” kata Jim Rowan, Ketua Eksekutif Volvo Cars.
Menurut Volvo lagi, keputusannya untuk menghentikan jualan enjin diesel menggambarkan betapa cepatnya industri kereta dan permintaan pelanggan berubah dalam menghadapi krisis iklim.
Hanya empat tahun lalu, majoriti kereta Volvo yang dijual di Eropah dikuasakan oleh enjin diesel. Kini, trend tersebut telah berubah dengan kebanyakan kereta Volvo di benua itu merangkumi model elektrik sepenuhnya atau hibrid plug-in.
Penurunan jumlah kereta diesel akan memberikan kesan positif terhadap kualiti udara. Walaupun CO2 yang dihasilkan oleh enjin diesel tidak sebanyak enjin petrol, ia melepaskan lebih banyak gas termasuk nitrogen oksida (NOx) yang mempunyai kesan buruk terhadap udara terutamanya di kawasan padat.
PROTON baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023.
Perjanjian ini dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen yang serupa pada tahun 2022 yang membawa kepada pelantikan Proton sebagai pengedar rasmi smart di Malaysia dan Thailand.
MoA tersebut ditandatangani oleh Roslan Abdulah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Mandy Zhang, Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan, bagi pihak smart Automobile.
Turut hadir di majlis itu ialah Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Tong Xiangbei, Presiden Global smart Automobile, dan Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET dan Unny Shankar, Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai wakil kementerian.
MoA pertama adalah untuk meneroka potensi Proton untuk menjual penawaran EV smart di ASEAN, manakala dokumen baharu ini pula adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang Proton di Tanjung Malim.
Dr Li Chunrong berkata MoA baharu ini membawa kerjasama Proton dan smart ke tahap baharu denga perbincangan mengenai pemasangan kenderaan smart di negara ini.
“Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” katanya.
Sejak pemeteraian MoA pertama, Proton telah menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV.
Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.
PRO-NET juga telah menandatangani MoU dengan Gentari, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.
Langkah terbaharu ialah pelancaran aplikasi Hello smartApp yang menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70 peratus peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.
“Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li Chunrong.
KETIBAAN Honda WR-V ke pasaran Malaysia pada Julai lalu bukan sahaja sebagai pengganti BR-V tetapi juga sebagai model pertama Honda yang akan menggegarkan segmen SUV kompak.
Pesaing utamanya tidak lain tidak bukan tentulah Perodua Ativa yang terus-menerus mendapat sambutan hangat sejak ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.
Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, Ativa dilihat sebagai pilihan yang ‘mesra poket’ terutamanya untuk mereka yang ingin beralih ke segmen SUV.
Kehadiran WR-V dijangka akan memberi saingan sengit kepada Ativa namun dengan julat harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM89,900 hingga RM107,900, penulis merasakan yang impaknya mungkin tidak sehebat SUV keluaran Perodua itu.
Ini kerana, selain agak mahal, pelanggan sebenarnya boleh memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih besar seperti Honda City atau Proton X50 dengan bajet yang sama.
Bagaimanapun, sangkaan penulis mengenai penerimaan WR-V salah sama sekali apabila Honda Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menerima hampir 7,300 tempahan untuk model itu setakat awal September 2023.
Daripada jumlah tersebut, hampir 3,300 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan daripada jumlah itu, 62 peratus daripadanya merangkumi varian RS. Ya, walaupun harganya agak tinggi, WR-V tetap laris. Kenapa agaknya?
Semasa sesi uji media yang diadakan di Langkawi baru-baru ini, penulis berpeluang mencungkil beberapa ‘rahsia’ WR-V dan merasai sendiri kelebihan yang dimiliki oleh model itu.
Pertama sekali, reka bentuk. Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ada segelintir pembeli kenderaan di negara ini yang meletakkan rupa sebagai faktor utama.
Oleh itu jika ada pemilik WR-V yang mengatakan dia membeli kereta ini sebab rupanya semata-mata, penulis tidak akan berasa hairan.
Ini kerana WR-V memang sebuah SUV yang menarik – badannya kecil molek tetapi ia mempunyai wajah yang garang dengan lampu yang tajam, gril yang lebar dan bukaan bampar yang luas.
Dari sisi, garisan karakter yang ‘ditarik’ dari hadapan hingga ke belakang, bumbung yang tidak terlalu tinggi, sert.a rim dua tona berukuran 17 inci (varian RS sahaja) memberikan WR-V imej sporty yang digemari golongan muda
Penulis paling suka melihat SUV ini dari sudut belakang kerana fender yang lebar membuatkan ia kelihatan tegap terutamanya ketika menyusur di jalan raya.
Bagaimanapun, rasa teruja tadi mula berkurangan sebaik sahaja melihat rekaan ruang kabinnya yang tidak semewah model-model keluaran Honda yang lain.
Penggunaan plastik keras pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu, serta kewujudan tuil brek parkir membuatkan model ini rasa dan nampak murah.
Namun begitu, kehadiran upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka sebelah penumpang dan perehat tangan, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta trim hitam berkilat dilihat menaikkan seri kabin WR-V.
Tidak cukup dengan itu, varian RS yang penulis pandu uji ini nampak lebih garang dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng.
Varian ini juga mempunyai jarum speedometer dan tachometer berwarna merah dan ‘welcome screen’ RS yang akan muncul pada panel TFT 4.2 inci pada kluster instrument setiap kali anda masuk ke dalam kereta.
Dari luar, memang WR-V nampak kecil namun ruang kabinnya tidak terasa sempit. Ruang kaki hadapan dan belakang agak luas untuk sebuah kereta kompak, manakala ruang kepala juga mencukupi walaupun garis bumbungnya kelihatan rendah.
Kusyen pada kerusi pemandu dan penumpang hadapan tidak dinafikan terasa agak pendek dan ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan peha, terutamanya untuk mereka yang tinggi lampai.
Berbeza pula dengan kerusi belakang – kusyennya lebih panjang, lebar dan selesa dan penyandarnya juga tidak terlalu condong. Walaupun tidak mempunyai fungsi ULTRA seperti City Hatchback, ia boleh dilipat secara 60:40.
Dengan kapasiti mencecah 380 liter, ruang but WR-V agak luas dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya empat bagasi bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah. Menariknya, ketiadaan penutup tonneau membolehkan penumpang belakang mengambil barang dari ruang but dengan lebih mudah.
Dari segi prestasi, ketiadaan pengecas turbo bukanlah satu kelemahan untuk WR-V. Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder yang dibekalkan sudah ternyata cukup untuk SUV kompak ini namun gaya pemanduan haruslah bersesuaian.
Maksud penulis, jika pedal ditekan dengan agresif sudah tentu enjin dan CVT akan ‘mengaum’ namun pecutannya tidaklah begitu dirasakan sehinggalah jarum tachometer mencecah takat 4,000 rpm.
Sebaliknya, jika dipedal ditekan dalam gaya yang lebih progresif, gabungan trenkuasa itu akan memberikan prestasi pecutan yang lebih cepat dan lancar, sekali gus menjadikan pengalaman pemanduan lebih seronok.
Langkawi bukanlah lokasi yang paling sesuai untuk memandu uji kereta pada kelajuan tinggi namun penulis sempat mencecah kelajuan 110 km/j beberapa kali. Pada kelajuan itu, WR-V masih terasa stabil namun bunyi dari tayar dan angin mula meresap ke dalam kabin.
Bagaimanapun, pulau peranginan itu mempunyai banyak jalan kampung dan jalan lama yang bersimpang siur dan beralun, jadi ia cukup sesuai untuk ujian pengendalian.
Untuk mereka yang sekali-sekala gemar ‘melayan’ selekoh, WR-V tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun jika terlalu dipaksa, olengan badan akan mula terasa.
Harus diingat yang ia bukanlah kereta sport sebenar dan dengan jarak lega tanah 220 mm, SUV ini sebenarnya agak tinggi. Stereng responsif namun sedikit ringan – bagus untuk pemanduan di dalam bandar tetapi kurang meyakinkan untuk pemanduan agresif.
Penulis diberitahu bahawa varian RS mempunyai talaan yang berbeza untuk penyerap hentak, CVT dan stereng kerana tidak seperti varian S, E dan V yang menggunakan rim 16 inci, varian ini dilengkapi dengan rim 17 inci.
Menurut ketua projek WR-V yang berasal dari Thailand, talaan spesifik ini perlu bagi mendapatkan tahap keselesaan yang sama dengan varian-varian lain. Tidak pasti jika tahap keselesaan sistem suspensi WR-V RS sama dengan varian-varian lain namun ia terbukti boleh menyerap hentakan dengan begitu baik.
Setelah hampir dua hari memandu WR-V, penulis akhirnya faham bagaimana SUV kompak ini boleh mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.
Ia mempunyai semua ciri yang dicari oleh pembeli dalam segmen ini yang rata-ratanya adalah golongan muda. Ini termasuk reka bentuk luaran yang tampan dan ruang kabin yang praktikal, walaupun secara jujurnya kelihatan agak outdated.
Tahap kelengkapannya juga tidak mengecewakan, dengan ciri-ciri penting seperti skrin sentuh bersama Apple CarPlay/Android Auto dan Honda LaneWatch disertakan secara standard pada semua varian. Honda Sensing pula tersedia dari varian E dan ke atas.
Selain itu, WR-V juga mampu memberikan pemanduan yang agak mengujakan, hasil daripada proses R&D dan ujian yang ekstensif.
Akhir sekali, penulis merasakan yang lambang ‘H’ kegilaan ramai itu turut menjadi faktor yang mempengaruhi proses membuat keputusan di kalangan pembeli model ini.
TIGUAN merupakan antara model keluaran Volkswagen yang paling popular dengan jualan peringkat global mencecah 7.6 juta unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2007.
Kini, SUV itu telah pun memasuki generasi ketiga dengan reka bentuk yang lebih segar, ukuran yang lebih panjang dan sudah tentunya pelbagai teknologi serta kelengkapan baharu. Model ini akan memasuki pasaran seawal tahun 2024.
Menurut Volkswagen, ukuran panjang Tiguan telah bertambah sebanyak 3 cm, manakala ukuran tinggi, lebar dan jarak roda sama seperti model sebelum ini. Walaupun perubahan saiz luaran tidak begitu ketara, kapasiti ruang but model ini membesar 37 liter kepada 652 liter.
Seperti yang boleh dilihat, penampilan luaran Tiguan kini lebih ‘lembut’ jika dibandingkan dengan model terdahulu. Lampu LED-nya mempunyai bentuk yang lebih rata, manakala bukaan radiator kini terletak pada sudut kiri dan kanan bampar untuk pengaliran udara yang optimum.
Rekaan baharu ini secara tidak langsung menjadikan Tiguan lebih aerodinamik, di mana kadar pekali seretannya menurun dari 0.33 kepada 0.28. Bahagian belakang pula tampak lebih lebar dengan lampu LED melintang yang dikontraskan dengan panel berwarna hitam.
Ruang dalaman SUV ini menampilkan susun atur panel instrumen digital yang lebih kemas dan pintar. Kelengkapan yang tersedia termasuk Digital Cockpit berasaskan MIB4, skrin sentuh 15 inci dengan struktur menu dan grafik baharu, serta paparan head-up display.
Selain itu, Tiguan juga didatangkan dengan tombol ‘pengalaman pemanduan’ multifungsi dengan skrin mini OLED pada konsol tengah. Ciri ini membolehkan pemandu memilih profil, mengawal multimedia dan juga mengubah warna pencahayaan ambien.
Sebagai alternatif, pemandu juga boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dan sistem infohibur menerusi sistem bantuan suara IDA baharu. Satu lagi ciri baharu adalah tempat duduk ergoActive Plus yang mempunyai pelarasan lumbar pneumatic empat hala, fungsi urutan, serta pemanasan dan ventilasi automatik.
Dibina menggunakan platform MQB evo, Tiguan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbodiesel (TDI), turbo petrol (TSI), turbo petrol mild hybrid (eTSI) dan hibrid plug-in (eHybrid). Perincian mengenai trenkuasa ini belum didedahkan namun Volkswagen berkata model-model hibrid mempunyai jarak pandu elektrik sejauh 100 km.
Bukan itu sahaja, semua versi eHybrid menyokong pengecasan AC yang lebih pantas, manakala pengecasan pantas DC juga akan tersedia secara standard buat pertama kalinya untuk Tiguan.
Volkswagen turut menaik taraf kawalan casis adaptif (DCC) dengan pilihan DCC Pro yang mempunyai penyerap hentak dua injap. Vehicle Dynamics Manager yang diperkenalkan menerusi Golf GTI turut disertakan pada model ini. Ia berfungsi untuk mengawal differential lock elektronik (XDS) dan DCC Pro.
Ciri-ciri lain yang disertakan, sama ada secara standard atau opsyen, termasuk lampu matrix IQ.Light HD, Side Assist, Front Assist (Autonomous Emergency Braking), Lane Assist, Rear View, Dynamic Road Sign Display, Park Assist Pro dan Trailer Assist.
UMUM sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk menurunkan harga petrol sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.
Kini, setelah diangkat sebagai PM ke-10 susulan keputusan PRU15, ucapan itu secara berterusan dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang terhadapnya.
Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara itu.
Jelas beliau, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.
Anwar berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.
“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).
“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.
“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.
“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.
SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.
Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.
Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.
Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.
Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.
Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.
Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.
#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.
#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.
Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.
#1 Brabus
Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.
Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.
#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.
Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.
BYD baru-baru ini meraikan pencapaiannya mencatat pengeluaran yang ke-500,000 unit Atto 3 di kilangnya di Hefei, hanya 19 bulan selepas model itu dilancarkan ke pasaran.
Sebagai model pertama yang dibangunkan untuk pasaran global, Atto 3 telah menjadi kenderaan tenaga baharu (NEV) terlaris di beberapa negara termasuk Singapura, New Zealand, Thailand, Israel dan Sweden.
Setakat hari ini, BYD beroperasi di lebih 50 buah negara. Atto 3 muncul sebagai NEV terlaris di Israel selama sembilan berturut-turut dan ia kini merupakan kenderaan elektrik tulen paling laku di Thailand sehingga Ogos 2023.
Menurut BYD, pencapaian ini menggariskan pertumbuhan pengaruh syarikat itu dan kejayaannya dalam pasaran automotif di peringkat global.
Dibina menggunakan e-Platform 3.0, Atto 3 menampilkan bahasa reka bentuk ‘Dragon’s Face’ yang menggabungkan elemen kebudayaan China yang berabad lamanya dengan elemen global kontemporari.
Nadi utama Atto 3 sudah tentulah bateri Blade BYD yang menawarkan keselamatan dan jarak pandu yang jauh. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj untuk Standard Range dan 60.48 kWj untuk Extended Range, dengan jarak pandu sehingga 480 km.
Gabungan reka bentuk menonjol dan teknologi canggih ini membolehkan BYD merangkul pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk 2022 New Zealand Car of the Year dan VAB Electric Family Car of the Year di Belgium.
Aspek keselamatan model ini juga tidak kurang hebatnya dengan penarafan lima bintang dari Euro NCAP.
TOYOTA Yaris cukup popular di kalangan pembeli di Malaysia dengan jualan melebihi 60,300 unit sejak dilancarkan ke pasaran pada 2019.
Bagi meneruskan kejayaan model hatchback itu, UMW Toyota Motor kini memperkenalkan versi facelift (dikenali sebagai Yaris IMP) yang tampil dengan reka bentuk lebih segar dan beberapa kelengkapan baharu.
Seperti sebelum ini, Yaris ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G. Kedua-duanya menampilkan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, serta pilihan warna dua tona dengan bumbung hitam.
Untuk pilihan warna, terdapat Red Mica Metallic dan Platinum White Pearl yang boleh didapati dalam versi satu atau dua tona. Sementara itu, Silver Metallica hanya tersedia dalam satu tona.
Di dalam, kedua-dua varian Yaris kini mendapat paparan berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles, rekaan fabrik tempat duduk yang lebih menonjol serta port USB Type-C.
Turut disertakan secara standard untuk model IMP adalah kluster instrumen Optitron dengan grafik berwarna putih dan merah, dan juga perakam video pemanduan (DVR) dengan ketersambungan telefon.
Sebagai varian tertinggi, Yaris 1.5G didatangkan dengan kelengkapan tambahan berupa balutan kulit lembut pada stereng, paddle shifter, tag RFID dan sensor bantuan parkir pada bahagian hadapan dan belakang.
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan tujuh beg udara, 3D Panoramic View Monitor dan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert.
Tiada sebarang perubahan pada bahagian enjin, bermakna Yaris masih lagi dikuasakan oleh enjin 2NR-FE 1.5-liter empat silinder Dual VVT-i yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan fungsi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.
Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Yaris IMP bermula dari RM88,000 untuk 1.5E dan RM91,600 untuk 1.5G. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.
BMW Group Malaysia mengumumkan pencapaian mereka sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan penyerahan kenderaan EV jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan.
Menurut syarikat itu, angka tersebut melangkaui 1,557 unit jualan EV BMW dan MINI yang dicapai pada keseluruhan tahun 2022.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia ke atas “Sheer Electric Driving Pleasure” serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami.”
Tambah de Visser lagi, pencapaian itu juga mengiktiraf kedudukan BMW Group Malaysia dalam segmen EV premium dan seluruh ekosistem EV di negara ini.
Dalam usahanya untuk memacu peralihan kepada mobiliti elektrik, BMW Group Malaysia meluaskan lagi usaha sama strategik dengan Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses kepada pengecasan EV.
Kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go, sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.
Bagi meraikan pencapaiannya, BMW Group Malaysia turut berkerjasama dengan ChargEV di samping JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had kepada pemilik EV BMW dan MINI.
Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran berpeluang membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut.
Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.
BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) menggesa pemilik kenderaan Citroen dan DS di Malaysia untuk segera berhenti memandu kenderaan mereka sekiranya penggantian beg udara Takata masih belum dilakukan.
Menurut BAASB, kempen panggilan semula beg udara Takata yang dilakukan sejak 2020 itu melibatkan model C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2017.
Kereta-kereta berkenaan dilengkapi dengan beg udara Takata dengan inflator yang mengandungi bahan kimia yang mungkin merosot terutamanya apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembap untuk satu tempoh panjang.
Keadaan ini mungkin akan menyebabkan inflator tersebut pecah ketika letupan, di mana serpihan logam yang berterabur boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.
Oleh kerana sudah terdapat kes kematian yang disebabkan oleh isu ini, pemilik atau pemandu model-model tersebut digesa untuk menghubungi BAASB dengan kadar segera untuk menukar beg udara.
Kerja-kerja penggantian adalah percuma dan BAASB akan menyediakan kereta ihsan (courtesy car) bagi memudahkan urusan pelanggan sehingga proses penggantian beg udara selesai.
BAASB berkata pihaknya telah mencuba untuk menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, termasuk menerusi surat, penghantaran kurier, emel, teks pesanan dan panggilan telefon.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Pengurusan Perhubungan Pelanggan di 03-7627 8818 atau emel kepada customersupport@baasb.com.my.
LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.
Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).
Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.
Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.
Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).
Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).
Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.
Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.
DIDI Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, telah melancarkan model edisi terhad Vespa 946 10° Anniversario ke pasaran tempatan.
Dihasilkan sempena Tahun Arnab mengikut kalendar zodiak Cina, model ini dijual pada harga RM99,900 tidak termasuk insurans. Hanya 1,000 unit dihasilkan untuk pasaran global dan untuk Malaysia, Didi Group dilaporkan membawa masuk kurang 20 unit.
Apa yang menarik tentang edisi 10° Anniversario? Selain berasaskan model 946 yang sememangnya diketahui sudah cukup istimewa, edisi ini tampil menonjol dengan grafik kartun arnab pada bahagian hadapan dan belakang.
Selain itu, ia didatangkan dalam skema warna hijau muda yang diserlahkan lagi dengan kemasan berwarna kelabu pada bahagian badan dan rim. Tempat duduk pula dibalut upholsteri kulit berwarna hitam berserta jahitan tangan.
Seperti versi standard, 946 10° Anniversario menggunakan rangka steelplate monocoque dengan pelbagai komponen aluminium rim, bar hendal, panel sisi, mudguard hadapan serta penyokong tempat duduk dan cermin.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 155 cc yang mampu menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm.
Skuter bergaya ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 12 inci dan menggunakan sistem brek yang terdiri daripada cakera berkembar 220 mm dan ABS dwi-saluran. Turut disertakan adalah sistem kawalan cengkaman ASR.
Tidak cukup dengan itu, lampu hadapan, belakang dan isyarat membelok semuanya LED, manakala panel instrumen dilengkapi dengan panel LCD pelbagai fungsi.
Pada tahun 50an, 60an dan 70an, pengeluar kenderaan Jepun cuba untuk membina semula industri mereka bukan sahaja di Negara Matahari Terbit itu, malah di pasaran-pasaran antarabangsa. Oleh itu, model-model Japanese Domestic Market (JDM) yang asalnya dihasilkan untuk pasaran Jepun, mula dijual di beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat.
Pada mulanya, ramai yang ragu-ragu kerana pasaran AS sudah terbiasa dengan muscle car Amerika dan kereta eksotik Eropah. Namun lama kelamaan, kereta JDM mula menambat hati peminat kereta di negara itu dengan gabungan harga yang mampu milik, prestasi dan ketahanan.
Pada era 80an dan 90an, beberapa kereta JDM berprestasi tinggi mula menerjah pasaran AS dan menjadi legend dalam komuniti kereta di sana. Contohnya, Toyota Corolla AE86 menarik hati peminat menerusi enjin 1.6-liter twin-cam yang berkuasa, badan yang ringan dengan keseimbangan berat hampir 50/50 dan peranannya sebagai bintang utama dalam siri anime popular, Initial D.
Toyota Supra pula menjadi ikon JDM kerana reka bentuknya yang sleek, enjin 2JZ yang power dan senang diubahsuai serta perananannya dalam filem The Fast and the Furious.
Salah satu benda yang menjadikan kereta JDM unik adalah potensi untuk dikustom dan dimodifikasi dengan barang-barang aftermarket. Penukaran enjin, sistem force induction, naik taraf suspensi dan lambakan kit badan adalah antara beberapa karakteristik JDM yang penting dalam scene kereta di AS.
Sehingga kini, “gaya hidup JDM” masih hidup dan telah melahirkan sebuah industri aftermarket yang terdiri daripada pengeluar-pengeluar alat ganti, bengkel talaan dan juga kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan JDM.
Hari ini, banyak kereta sport JDM di AS masih mendapat permintaan bukan sahaja kerana statusnya sebagai ikon, malah untuk enjinnya. Dengan barangan yang sesuai dan talaan yang ‘menjadi’, kereta -kereta ini mempunyai potensi untuk menjadi kereta yang paling laju dan berkuasa di jalan.
Nissan 350Z/Fairlady Z (Z33)
Sejak 1960an lagi, Nissan telah menghasilkan dua barisan kereta sport enjin depan midship (FM) iaitu GT-R dan Z. Z33, juga dikenali sebagai Fairlady Z di Jepun dan 350Z di pasaran eksport, merupakan kereta Z Nissan pertama untuk abad ke-21.
Pengeluarannya dimulakan pada 2002 sebagai model tahun 2003, dan diteruskan selama enam tahun hingga 2009. Menggunakan enjin 3.5-liter V6, Fairlady Z menghasilkan 287 hp dan 371 Nm dalam tahun pertamanya, dan berakhir dengan 306 hp dan 363 Nm pada 2009.
Dengan induksi paksaan, enjin VQ35DE itu boleh mencecah 400 hp sebelum ketahanannya terjejas. Bagaimanapun, kuasa enjin itu boleh mencecah 800 hp atau 1,000 hp dengan setup yang lebih agresif.
Spec Enjin
Kod enjin: VQ35DE
Pengeluar: Nissan
Sesaran: 3.5L
Konfigurasi: Naturally-Aspirated V6
Kuasa Kuda: 273-313 hp
Tork: 353-371 Nm
Bahan api: Petrol
Mazda RX-8
Dikeluarkan dari 2003 hingga 2012, Mazda RX-8 menggunakan enjin rotary naturally-aspirated 1.3-liter (13B-MSP RENESIS) yang menghasilkan hampir 240 hp pada tahun-tahun akhirnya. Walaupun output ini dianggap biasa berbanding enjin-enjin turbo empat silinder dan V6, ia sebenarnya mengagumkan kerana enjin RENESIS Wankel itu tidak mempunyai pengecas turbo.
Spec Enjin
Kod enjin: 13B-MSP RENESIS
Pengeluar: Mazda
Sesaran: 1.3L
Konfigurasi: Naturally-Aspirated Twin-Rotor
Kuasa Kuda: 189-238 hp
Tork: 216 Nm
Bahan api: Petrol
Subaru Impreza WRX STI
Subaru Impreza WRX STI merupakan kereta sport kompak pacuan semua roda (AWD) yang bermula dengan model Impreza yang dibangunkan oleh Subaru untuk Kejohanan Rali Dunia 1992. Dari 1992 hingga 2014, lencana WRX (World Rally eXperimental) itu menggunakan Impreza sebagai asas dengan enjin flat-four 2.0-liter (sehingga 265 hp dan 331 Nm) dalam spesifikasi rali.
Lencana WRX STI diperkenalkan buat pertama kali pada 1994 dan sejak itu ia digunakan untuk varian WRX yang menggunakan enjin Boxer 2.5-liter (sehingga 305 hp dan 393 Nm). Bagaimanapun, bermula 2015, Subaru WRX menjadi barisan model tersendiri dan diasingkan sepenuhnya daripada Impreza.
Spec Enjin
Kod enjin: EJ257 H4-T
Pengeluar: Subaru
Sesaran: 2.5L
Konfigurasi: Flat-Four/Boxer
Kuasa Kuda: 305 hp
Tork: 393 Nm
Bahan api: Petrol
Mitsubishi Lancer Evolution
Juga dikenali sebagai Evo, Mitsubishi Lancer Evolution adalah salah satu sedan sport JDM yang paling popular. Asalnya direka untuk rali, Evo generasi pertama muncul pada 1992 untuk pasaran Jepun sahaja. Tetapi, bermula 1998, permintaan untuk Evo semakin meningkat di UK dan AS. Ini membuatkan Mitsubishi mengeksport Evo generasi kelapan ke AS pada 2003.
Evo menjadi ikon kereta jalanan berprestasi dan hari ini, hampir 7 tahun selepas model terakhir iaitu Evo X dibersarakan, sedan rali itu masih lagi mendapat permintaan. Sepanjang hayatnya, Evo menggunakan dua enjin turbo empat silinder iaitu 4G63T untuk generasi pertama hingga sembilan dari 1992 hingga 2007 (244-287 hp, 309-407 Nm) dan 4B11T untuk model generasi ke-10 dari 2008 hingga 2016 (276-400 hp, 407-525 Nm).
Spec Enjin
Kod enjin: 4G63T
Pengeluar: Mitsubishi
Sesaran: 2.0L
Konfigurasi: Empat silinder sebaris/I4
Kuasa Kuda: 244-287 hp
Tork: 407-525 Nm
Bahan api: Petrol
Mazda RX-7 (FC)
RX-7 generasi kedua yang dikenali dengan kod FC mula dijual dari 1985 hingga 1991 dengan harapan untuk meneruskan kejayaan model generasi pertama di pasaran Amerika. Dengan reka bentuk luaran yang tidak ubah seperti Porsche 944 dan enjin rotary turbo Wankel 1.3-liter 13B-T (sehingga 200 hp, 264 Nm), FC berjaya meletakkan nama RX-7 sebagai antara model JDM terhebat ketika itu.
Spec Enjin
Kod enjin: 13B-T
Pengeluar: Mazda
Sesaran: 1.3L
Konfigurasi: Turbo Twin-Rotor
Kuasa Kuda: 185-200 hp
Tork: 264 Nm
Bahan api: Petrol
Mazda RX-7 (FD)
RX-7 generasi ketiga, dikenali dengan kod FD3S di Jepun, bertahan dari 1991 hingga 2002. Model FD merupakan generasi terakhir untuk RX-7 dan ia menggunakan enjin rotary terulung iaitu enjin 1.3-liter twin-turbo (13B-REW). Dalam versi paling asas, enjin itu menghasilkan 252 hingga 276 hp, namun ramai yang telah berjaya ‘memerah’ sehingga 1,000 hp daripada enjin itu.
Spec Enjin
Kod enjin: 13B-REW
Pengeluar: Mazda
Sesaran: 1.3L
Konfigurasi: Twin-Turbo, Twin-Rotor
Kuasa Kuda: 252-276 hp
Tork: 294-313 Nm
Bahan api: Petrol
Honda S2000
Dihasilkan dari 1999 hingga 2009, Honda S2000 merupakan ‘bintang’ ulang tahun ke-50 Honda. Membawakan semangat model-model roadster S500, S600 dan S800, S2000 mendapat namanya dari enjin FC20 yang mempunyai sesaran 2.0-liter. Bagaimanapun, nama model itu bukan satu-satu tarikan yang dibawa oleh enjin tersebut.
Dengan 124 hp setiap liter, enjin tersebut mempunyai antara kuasa tertinggi bagi kereta produksi naturally-aspirated. Sebagai perbandingan, Corvette Z06 model 2023 dan Lexus LFA masing-masing menghasilkan 121 hp dan 117 hp setiap liter.
Spec Enjin
Kod enjin: FC20
Pengeluar: Honda
Sesaran: 2.0L
Konfigurasi: Empat Silinder Sebaris/I4
Kuasa Kuda: 247 hp
Tork: 218 Nm
Bahan api: Petrol
Nissan Silvia/240SX (S15)
Silvia S15, juga dikenali sebagai 240SX di pasaran eksport, merupakan kereta enjin depan, pacuan roda belakang (FR) yang dihormati di Jepun kerana enjin turbo 2.0-liter SR20DET yang menampilkan pengecas turbo galas bebola dan sistem pengurusan enjin yang ditambah baik. Dengan badan yang ringan dan rekaan yang tak lapuk ditelan zaman, Silvia S15 menjadi ikon drift dari 1999 hingga 2002. Ya, ia juga menjadi “Mona Lisa” milik Han dalam filem The Fast and The Furious: Tokyp Drift.
Spec Enjin
Kod enjin: SR20DET
Pengeluar: Nissan
Sesaran: 2.0L
Konfigurasi: Turbo, Empat Silinder Sebaris/I4
Kuasa Kuda: 247 hp
Tork: 275 Nm
Bahan api: Petrol
Toyota Supra MK4 (JZA80)
Toyota Supra generasi keempat, yang dipasarkan dari 1993 hingga 2002, merupakan antara kereta JDM paling popular pernah dihasilkan. Dengan enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris, Supra MK4 boleh menghamburkan sehingga 326 hp dan 441 Nm tanpa sebarang modifikasi. Enjinnya juga mempunyai reputasi sebagai enjin yang lasak dan tahan, serta mudah ditala sehingga lebih 1,000 hp.
Spec Enjin
Kod enjin: 2JZ-GTE
Pengeluar: Toyota
Sesaran: 3.0L
Konfigurasi: Turbo, Enam Silinder Sebaris/I6
Kuasa Kuda: 276-326 hp
Tork: 431-441 Nm
Bahan api: Petrol
Nissan Skyline GT-R (R32/R33/R34)
Senarai kereta sport JDM tak akan lengkap tanpa Godzilla, nama jolokan yang diberikan kepada Nissan Skyline GT-R kerana prestasinya yang setanding supercar. Walaupun Skyline GT-R dari 1969 hingga 1973 berjaya dalam perlumbaan kereta touring, Skyline GT-R R32 keluaran 1989 sebenarnya yang memulakan legasi model itu dalam dunia JDM.
Dalam versi terakhirnya iaitu R34, Skyline GT-R menggunakan enjin RB26DETT yang cukup dikagumi, sistem pacuan semua roda (AWD) ATESSA E-TS Pro dan sistem stereng empat roda Super-HICAS untuk mengalahkan pesaing-pesaingnya yang terdiri daripada supercar ketika itu.
Bagi menghormati gentlemen’s agreement antara pengeluar-pengeluar kereta Jepun ketika itu, enjin 2.6-liter twin-turbo itu menghasilkan hanya 276 hp dan 392 Nm ketika keluar dari kilang. Namun, ia bukanlah satu rahsia yang enjin tersebut mampu menghasilkan lebih 1,000 hp dengan modifikasi.
Spec Enjin
Kod enjin: RB26DETT
Pengeluar: Nissan
Sesaran: 2.6L
Konfigurasi: Twin-Turbo, Enam Silinder Sebaris/I6
Kuasa Kuda: 276 hp
Tork: 392 Nm
Bahan api: Petrol
PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengumumkan bahawa ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) kini dimulakan di dua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Menerusi SPT, pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta) boleh membuat bayaran tol di GCE dan AKLEH menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar di Lorong yang telah dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantry.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata sistem berkenaan mula dijalankan di ketiga-tiga plaza tol GCE iaitu Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September lalu.
“Sementara itu, Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya AKLEH sudah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu. Satu lorong disediakan di setiap plaza tol untuk proses percubaan sistem itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” ujarnya.
SPT merupakan tambahan untuk kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
“Inisiatif ini dijangka menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk pengguna lebuh raya di plaza tol dengan lebih banyak pilihan pembayaran tol sekali gus menyumbang kea rah penambahbaikan industry lebuh raya negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.
SEMASA dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Julai lalu, Hyundai Ioniq 6 ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu Max RWD dan Max AWD, yang masing-masing berharga RM289,888 dan RM319,888.
Kini, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperkembangkan barisan sedan EV itu dengan penambahan dua varian baharu yang dikenali sebagai Lite RWD dan Plus RWD.
Kedua-dua varian berkenaan dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang mampu menjana 151 PS (111 kW) dan 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 185 km/j.
Untuk bateri pula, varian Lite dan Plus dilengkapi dengan bateri litium-ion polimer berkapasiti 53 kWj yang dikatakan mampu memberikan jarak pandu sejauh 429 km dengan satu cas penuh. Angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.
Pengecasan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam hanya 18 minit menggunakan pengecas pantas DC 350 kW atau 58 minit dengan pengecas DC 50 kW.
Sebagai perbandingan, varian-varian Max memerlukan 73 minit untuk pengecasan dari 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC 50 KW.
Sementara itu, pengecasan penuh dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 5.5 jam menggunakan pengecas AC dengan kapasiti 11 kW.
Menurut HSDM, kebanyakan ciri yang ada pada varian-varian Max turut tersedia pada varian Lite dan Plus.
Ini termasuk tujuh beg udara, Lane Keeping Assist, Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Vehicle-to-Load (V2L), skrin berkembar 12.3 inci, Android Auto dan Apple CarPlay, pencahayaan ambien 64 warna, pengecas wayarles dan tailgate berkuasa.
Harga atas jalan tidak termasuk insurans untuk varian-varian baharu ini bermula dari RM219,888 untuk Lite RWD dan RM249,888 untuk Plus RWD.
Kedua-duanya didatangkan dengan waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Dengan bayaran tambahan sebanyak RM10,000, pelanggan boleh menaik taraf waranti standard dua tahun/50,000 km kepada lima tahun/100,000 km serta mendapat pakej servis selama tiga tahun/50,000 km.
Bukan itu sahaja, HSDM juga akan memberikan keahlian Shell Recharge Gold percuma selama setahun kepada 30 pelanggan pertama.
Seperti varian-varian Max, Ioniq 6 Lite dan Plus boleh didapati dalam warna Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte.
SEPERTI yang dijanjikan, Lotus secara rasminya memperkenalkan Emeya, model hyper GT empat pintu yang pertama bagi jenama itu.
Emeya akan memasuki fasa produksi pada tahun hadapan bagi membawa cabaran baharu terhadap pesaing-pesaing terdekatnya seperti Audi e-tron GT, Porsche Taycan dan Tesla Model S.
Sebagai sebuah Lotus, Emeya menjanjikan prestasi pemanduan yang mengujakan. Ini dicapai menerusi sistem aerodinamik canggih yang merangkumi elemen-elemen aktif seperti jeriji, diffuser dan spoiler.
Spoiler berkenaan mempunyai ukuran lebar 11 inci (3.9 inci lebih lebar berbanding spoiler Eletre) dan boleh menjana downforce sehingga 215 kg.
Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara yang dikawal secara elektronik. Sistem tersebut mempunyai sensor canggih yang boleh mengimbas permukaan jalan sebanyak 1,000 kali sesaat dan akan melaras kenderaan secara automatik untuk pemanduan yang paling lancar.
Dalam versi paling berkuasa, model ini mempunyai 905 hp dan 985 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Angka tersebut membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang 2.8 saat.
Tidak seperti Eletra yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 112 kWj, Emeya didatangkan dengan bateri 102 kWj yang menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW.
Menurut Lotus, pengecasan selama lima minat akan memberikan jarak pemanduan sejauh 150 km, sementara pengecasan selama 18 minit boleh memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus.
Jarak pandu tidak dinyatakan namun ia angkanya dijangka tidak jauh berbeza dengan Eletre yang boleh dipandu sejauh 600 km dengan satu cas penuh.
Emeya dibangunkan menggunakan pelbagai material lestari bagi mengurangkan jejak karbonnya. Ini termasuk benang yang diperbuat daripada gentian yang dikitar semula daripada industri fesyen, aluminium PVD, Alcantara, kulit Nappa dan ultrafabrik PU.
Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, Emeya menjanjikan pengalaman audio terbaik menerusi sistem audio yang dibangunkan dengan kerjasama KEF. Sistem ini merangkumi pembesar suara Uni-Q dan subwoofer Uni-Core, serta bunyi 3D Dolby Atmos.
Turut disertakan adalah paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci, cermin digital dan modul LiDar seperti yang terdapat pada Eletre.
VOLVO Car Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mengemaskini rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) iaitu XC90, XC90, XC60, S90, S60 dan V60 untuk tahun 2024. Pengemaskinian tersebut akan disertakan dalam model yang dikeluarkan mulai September.
Semua model PHEV Volvo akan dilengkapi dengan pengecas bersepadu (on-board charger atau OBC) yang boleh menampung sehingga 6.4 kW dengan pengecasan dua atau tiga fasa, atau 3.6 kW untuk fasa tunggal. Dengan naik taraf ini, masa pengecasan dapat dipendekkan dari lima jam sebelum ini kepada hanya tiga jam.
Untuk bahagian luaran, model-model berkenaan akan didatangkan dengan bumbung kaca panoramik secara standard. S90 Recharge mendapat rim lapan jejari baharu, manakala S60 Recharge dan V60 Recharge mendapat rim enam jejari baharu.
Selain itu, Volvo Car Malaysia juga akan menawarkan pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Vapour Grey sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Denim Blue dan Platinum Grey.
Penambahbaikan lain termasuk perkhidmatan digital percuma selama lima tahun yang merangkumi akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars. Turut disertakan adalah tambahan aplikasi YouTube kepada sistem infohibur Google.
Model-model terdahulu yang layak menggunakan sistem infohibur Google juga akan dapat menggunakan YouTube melalui pengemaskinian perisian secara Over-The-Air (OTA), yang kini turut membolehkan pengecasan berjadual menerusi aplikasi Volvo Cars.
Dari segi keselamatan, kesemua model 2024 dilengkapi dengan Cross Traffic Alert, Blind Spot Information System, Lane Keeping Aid, dan Collision Avoidance & Mitigation dengan Steering Support and Braking.
PROGRAM Peniliaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengumumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lalu telah menerima penarafan lima bintang dalam ujian perlanggarannya.
Menurut ASEAN NCAP, sedan segmen B itu diuji di bawah protokol 2021-2025 yang menyaksikan ia menerima markah keseluruhan sebanyak 78.70 mata. Varian yang diuji adalah varian G yang merupakan varian tertinggi untuk model itu.
Bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Vios mendapat 35.25 mata dari 40 mata keseluruhan manakala untuk kategori Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak, ia mendapat 16.64 mata dari 20 mata keseluruhan.
Sementara itu, untuk kategori Bantuan Keselamatan (BA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang masing-masing mempunyai 20 mata keseluruhan, Vios menerima 16.08 dan 10.73 mata.
Toyota Vios generasi keempat didatangkan secara standard dengan enam beg udara, kecuali di salah satu pasarannya di mana ia hanya menawarkan dua beg udara.
Antara ciri keselamatan yang terdapat pada model ini termasuk Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Seatbelt Reminder System (SBR) untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang, serta Pedestrian Protection.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD) dan Auto High Beam (AHB).
BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan BMW M 1000 RR dengan M Competition Package, kira-kira dua tahun selepas jentera itu diperkenalkan buat pertama kali di negara ini.
Dengan penambahan M Competition Package, M 1000 RR bukan sahaja tampil lebih agresif dengan komponen-komponen aerodinamik baharu, malah bersifat lebih sporty dengan adanya pelbagai kelengkapan terkini.
M Competition Package merangkumi lengan ayun aluminium beranod yang lebih ringan (-220 g), sistem brek M, tuil klac, pelindung tuil brek, rantai M (M Endurance Chain) dan juga tempat letak kaki M.
Turut disertakan bersama pakej berkenaan adalah set roda M Carbon dan komponen-komponen karbon termasuk pelitup roda hadapan dan belakang, pelindung gegancu, pelitup sisi dan tangki.
Kuasa masih dibekalkan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 999 cc yang dilengkapi dengan sistem penyejukan air dan teknologi BMW ShiftCam bagi kawalan aci sesondol berciri boleh ubah pada saluran masuk.
Kini dengan M Engine Protector, enjin berkenaan menghasilkan 212 hp pada 15,000 rpm dan 113 Nm pada 11,000 rpm. Menurut BMW, superbike ini boleh mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.
Kelengkapan lain yang tersedia termasuk paparan TFT berukuran 6.5 inci yang dikuasakan oleh pengantara OBD bagi M GPS-Laptrigger serta pelindung tempat duduk penumpang (Passenger Carbon Cover) yang merupakan sebahagian daripada Passenger Package.
Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori tambahan lain seperti penghadang angin (versi bertinta, gelembung atau gelembung bertinta), M Datalogger dan M Cover Kit.
Seperti sebelum ini, M 1000 RR boleh didapati dalam tiga kombinasi warna menarik iaitu Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red.
Harga jualan M 1000 RR dengan M Competition Package bermula dari RM289,500, iaitu RM40,000 lebih tinggi berbanding versi tanpa pakej tersebut yang dilancarkan pada 2021.
BERITA baik untuk anda yang menunggu Porsche Cayenne facelift yang diperkenalkan kepada dunia pada April lalu. Hari ini, Porsche Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk model itu sudah pun dibuka secara rasmi.
Dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah, Cayenne baharu dijual pada harga bermula dari RM599,999. Ia menampilkan casis yang dinaik taraf, serta lebih banyak ciri standard dan kelengkapan baharu.
Untuk pasaran Malaysia, Cayenne boleh didapati dalam tiga warna iaitu Chromite Black Metallic, Carrara White Metallic dan Quarzite Grey Metallic, dengan pilihan upholsteri kulit hitam atau hitam dan merah.
Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk Adaptive Cruise Control, pintu soft-close dan pakej Sport Chrono. Menariknya, ciri-ciri ini ditawarkan sebagai aksesori tambahan bagi pasaran-pasaran lain.
Di dalam, terdapat tempat duduk dengan pelarasan 14 hala dan pakej memori, logo Porsche pada perehat kepala dan tirai elektrik untuk tingkap belakang.
Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Cayenne facelift CKD mendapat lebih banyak ciri standard. Ini termasuk lampu Matrix LED, Porsche Active Suspension Management (PASM), Power Steering Plus, rim Cayenne Design 20 inci, Park Assist dengan Surround View, sistem audio Bose dan pengecas wayarles 15W.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital melengkung berukuran 12.6 inci dan paparan Porsche Communication Management (PCM) 12.3 inci yang diintegrasikan secara harmoni pada papan pemuka.
Pelanggan yang inginkan penampilan lebih menonjol boleh mendapatkan pelbagai aksesori Tequipment termasuk rim Cayenne Exclusive Design berukuran 21 inci, rim Sport Design 22 inci dan sistem hiburan tempat duduk belakang.
Akhir sekali, Cayenne menampilkan enjin 3.0-liter turbo V6 yang menjana 353 PS dan 500 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu keempat-empat roda.
Cayenne facelift boleh ditempah menerusi platform digital baharu mycayenne.online. Untuk lebih eksklusif, 250 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima kunci dalam warna yang sama dengan warna luaran. Menurut Porsche Malaysia, penghantaran dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.