All posts by Amirul Mukminin

Toyota Corolla GR Sport dilancarkan dengan bampar lebih agresif, talaan suspensi – RM152,800

UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan satu lagi model GR Sport ke pasaran tempatan iaitu Corolla GR Sport. Sedan segmen C itu merupakan model Toyota keempat yang mendapat sentuhan GR Sport selepas Vios, Hilux dan Corolla Cross.

Seperti model-model GR Sport yang lain, penambahbaikan yang dibawakan oleh Corolla GR Sport terhad kepada aspek kosmetik luaran dan dalaman, serta talaan suspensi sahaja.

Pada bahagian hadapan, model ini boleh dibezakan dengan versi standard melalui rekaan gril atas dan bawah yang lebih sporty. Gril radiator pada bahagian bawah mempunyai motif honeycomb dan lampu kabus berbentuk bulat. Turut disertakan adalah pelindung pada bahagian bawah badan.

Pada bahagian sisi, penampilan model ini diserlahkan lagi menerusi kemasan hitam pada perumah cermin sisi dan rim aloi GR 18 inci yang dibalut tayar Dunlop SP Sport Maxx berukuran 225/40.

 

Di belakang pula, anda akan menemui lencana GR Sport pada bahagian but dan diffuser pada bampar.

Di dalam, terdapat tempat duduk dengan balutan kulit hitam yang dihiasi dengan logo GR pada bahagian perehat kepala, serta trim dan jahitan berwarna merah yang turut boleh didapati pada perehat tangan dan pintu.

Karpet dan butang penghidup enjin turut menampilkan logo GR.

Sebagai sebahagian daripada kemas kini untuk model tahun 2023, Corolla GR Sport juga mendapat panel instrumen digital berukuran 12.3 inci. Ciri ini juga terdapat pada varian 1.8G.

Dari segi prestasi, penyerap hentak, coil spring belakang dan bar penstabil pada gandar hadapan dan belakang ditala semula untuk pengendalian yang lebih mantap.

Selain daripada itu, enjin 2ZR-FE 1.8-liter empat silinder kekal standard dengan output sebanyak 139 PS dan 172 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT yang memacu roda hadapan.

Corolla GR Sport boleh didapati dalam tiga warna iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pearl dan Attitude Black. Harga jualannya bermula dari RM152,800, iaitu RM5,000 lebih tinggi berbanding varian 1.8G.

Pos Malaysia terima 50 motosikal elektrik Modenas MEV-1

POS Malaysia Berhad telah menerima 50 buah motosikal elektrik daripada Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan DRB-Hicom EZ Drive Sdn Bhd (AVIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata inisiatif ini merupakan penanda penting dalam komitmen berterusan Pos Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar.

“Selain daripada jumlah keseluruhan 55 buah motosikal elektrik yang telah beroperasi di Lembah Klang, kami akan memobilisasikan 50 lagi motosikal elektrik Modenas ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

“Matlamat kami adalah untuk mempunyai sasaran 200 buah motosikal elektrik dan 143 buah van elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas menjelaskan bahawa MEV-1 mewakili inovasi dan penyelesaian mobiliti lestari serta melambangkan komitmen pengeluar motosikal itu untuk menyediakan alternatif pengangkutan yang mesra alam di Malaysia dan di luar negara.

“Dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang elegan, MEV-1 melambangkan lonjakan yang signifikan ke arah masa depan yang lebih mesra alam bagi landskap pengangkutan negara,” tambah Roslan.

Mohd Syahrul Yusuf, Ketua Pegawai Operasi AVIS Malaysia pula berkata, “Dengan Pos Malaysia, kami bangga untuk menyumbang secara aktif kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia. Terdapat potensi besar bagi kita untuk berbuat lebih baik untuk bumi ini dan kami ingin memastikan penggunaan bahan api dan pencemaran berkurangan, melalui penggunaan cara-cara inovatif untuk menggalakkan kecekapan tenaga.”

Pada awal tahun ini, Pos Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian pyang merangkumi pelan-pelan untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya, dengan matlamat emisi karbon bersih untuk operasinya menjelang tahun 2050.

Sasaran kelestarian ini menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menyokong usaha global dalam memastikan kenaikan suhu global adalah di bawah 1.5°C.

Pemilik lesen B2 boleh ‘upgrade’ ke B secara automatik?

TERDAPAT cadangan untuk membolehkan pemegang lesen memandu kelas B2 menaik taraf lesen mereka kepada B secara automatik, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.

Tambah beliau, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.

“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 di Pekan, Pahang pada Ahad.

Majlis pelepasan membabitkan lebih 238 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada ahli Superbikers Association Malaysia (SAM) itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden SAM Datuk Abdul Halim Suleiman.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250 cc manakala kelas B membabitkan motosikal melebihi 500 cc.

Terdahulu, Abdul Halim menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.

Chery Malaysia siapkan kelompok pertama pemeriksaan pra-penghantaran di Kulim

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyiapkan kelompok pertama Pemeriksaan Pra-Penghantaran (Pre-Delivery Inspection atau PDI) di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah.

Pencapaian ini merupakan bukti komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti dan pemasangan, selain penting bagi memastikan pengalaman pemilikan yang tiada tandingan untuk pelanggan mereka.

Menurut syarikat itu, penyepaduan prosedur PDI terus ke dalam barisan pengeluaran kilang pemasangan tempatannya (CKD) menandakan detik penting dalam usahanya untuk mendapatkan jaminan kualiti.

Dengan menjalankan pemeriksaan dan ujian yang teliti sebelum kenderaan meninggalkan kilang, Chery Malaysia
menyasar untuk menghantar kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi juga melangkaui jangkaan pelanggan.

“Kejayaan ini adalah kemuncak kerja keras dan usaha gigih kumpulan pemasangan Chery Malaysia di kilang CKD, kami akan terus berusaha untuk menetapkan standard industri baharu bagi memenuhi tahap kualiti antarabangsa.” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.

Tambah beliau lagi, komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti meliputi setiap aspek proses pembuatan dan pemasangannya.

“Kesediaan barisan pengeluaran dan pemasangan untuk PDI adalah bukti perancangan teliti serta bukti pelaburannya dalam teknologi dan proses termaju.

“Penambahan PDI dalam proses pengeluaran CKD mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama yang semakin meningkat dalam industri automotif Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan misi Chery Malaysia untuk menetapkan standard baharu bagi kualiti, keselamatan dan kepuasan pelanggan,” kata Chen.

AIM-MIME 2023 bakal pamer ratusan kereta modifikasi, EV dan eksotik

PEMINAT kereta modifikasi dan kenderaan elektrik (EV) dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan International Modified (IAM) Kuala Lumpur dan Malaysian International Motor Expo (MIME) 2023 yang bakal diadakan dari 27 hingga 29 Oktober 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), acara ini akan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan, produk, inovasi dan perkembangan terkini dalam teknologi automotif dari pengedar kereta dan motosikal, serta pengeluar OEM.

Apa yang menjadikan IAM-MIME 2023 unik adalah gabungan tiga genre automotif di bawah satu bumbung iaitu kereta generasi baharu daripada pelbagai jenama, EV serta lebih 300 buah kereta yang telah diubahsuai. Acara itu juga akan menampilkan pameran koleksi supercar, hypercar dan kereta-kereta ikonik dari JPM Museo dan Utama Motors.

Dianggap sebagai acara kereta modifikasi dan gaya hidup terbesar di Asia Tenggara, IAM telah menjelajah lebih daripada 38 bandar di seluruh Indonesia sejak 2001 sebelum berkembang ke negara-negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand.

Diadakan buat pertama kali di Malaysia pada 2011, IAM mula bergabung tenaga dengan MIME pada 2022 di mana hampir 104,000 pengunjung membanjiri acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu. Acara tahun lalu menampilkan lebih 100 buah kereta modifikasi terbaik dan tahun ini, angka itu dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda.

Selain pameran kereta, AIM-MIME 2023 juga akan menampilkan pelbagai tarikan lain termasuk simulator perlumbaan, pameran kereta kawalan jauh, perhimpunan kelab-kelab kereta, pameran kereta eksotik diraja, festival muzik serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah.

Tiket pra-jualan kini boleh didapati pada harga diskaun RM17 sehari di https://ticket.malaysiamotorexpo.com/ atau
http://t2u.asia/e/31710?sec=36057. Tawaran ini berakhir pada 31 Ogos 2023.

Tiket juga boleh dibeli di kaunter pada hari pameran pada harga RM30 setiap satu. Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masuk percuma dengan pengawasan penjaga.

Saman ekor boleh dipertikai di mahkamah – Pakar undang-undang

Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.

Beliau bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.

Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.

“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.

“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran. Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.

KL Bike Show 2023: Brixton Crossfire XS kecil tapi stylo, RM8,788

SELEPAS melancarkan Cromwell 1200 pada Jun lalu, Brixton kini tampil dengan satu lagi model menarik untuk pasaran tempatan iaitu Crossfire 150 XS.

Harga jualan motosikal bersaiz mini ini bermula dari RM8,788 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Backstage Black, Clockwork Orange dan Cargo Green.

Crossfire 150 XS sememangnya sebuah motosikal yang kecil, dengan ukuran panjang 1,690 mm, lebar 755 mm dan tinggi 1,210 mm. Tinggi pelana adalah 770 mm, manakala beratnya adalah sekitar 111 kg.

Ia dikuasakan oleh enjin empat lejang 150 cc silinder tunggal yang menghasilkan 13.4 hp pada 9,500 rpm dan 10.5 Nm pada 3,100 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Untuk casis pula, ia menggunakan fork teleskopik jenis terbalik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70-12 di hadapan dan 130/70-12 di belakang.

Selain itu, motosikal ini didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, meter analog dan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

Dengan setiap pembelian Crossfire 150 XS, pembeli menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian.

KL Bike Show 2023: QJMotor SRK600RC dengan livery Gresini Racing, RM39,888

MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama QJMotor di Malaysia, telah melancarkan model sportbike SRK600RC di acara KL Bike Show 2023.

Model ini dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu biru dan hitam, dengan livery yang diinspirasikan daripada pasukan Gresini Racing dalam kejohanan Moto2.

SRK600RC dikuasakan oleh enjin 600 cc empat silinder sebaris DOHC yang mampu menghasilkan 80.4 hp pada 11,000 rpm dan 51 Nm pada 10,500 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis Slipper & Assist.

Untuk casis, ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Marzocchi yang terdiri daripada fork terbalik pada bahagian depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada sistem Brembo dengan cakera berkembar berukuran 320 mm di hadapan dan cakera tunggal 260 mm di belakang. Sistem ABS disertakan secara standard.

Sementara itu, tayar yang digunakan adalah berukuran 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang.

Tinggi pelana SRK600RC adalah 800 mm, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 16.4 liter. Berat keseluruhan jentera ini adalah sekitar 225 kg.

Proton X90 berasap, adakah berpunca dari bateri hibrid?

KEMASKINI: Proton telah mengeluarkan kenyataan mengatakan unit yang terbakar itu kini sedang berada dalam simpanannya untuk tujuan siasatan. Syarikat automotif nasional itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang insiden letupan yang disebabkan oleh bateri sistem mild hybrid pada model berkenaan.

SAYA pasti anda sudah melihat satu rakaman video yang memaparkan sebuah Proton X90 berasap pada bahagian bonet.

Sehingga artikel ini ditulis, punca kejadian masih belum diketahui dan pihak Proton pastinya sedang bertungkus-lumus menyiasat kes ini sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Walau bagaimanapun, jika dilihat ruang komen, rata-rata netizen mengatakan kejadian itu berpunca dari bateri sistem hibrid yang terbakar atau meletup.

Jika melihat video yang tular itu, tekaan itu mungkin ada betulnya kerana bateri lithium-ion untuk sistem mild-hybrid X90 memang terletak di bawah lantai bonet.

Malah, panel tiang D yang telah cair juga boleh dianggap sebagai satu petanda yang kebakaran atau letupan berpunca dari situ.

Namun, izinkan saya memberi nasihat kepada netizen agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran terutamanya di kalangan pemilik X90. Tunggu sahaja penjelasan rasmi dari pihak Proton.

Untuk pengetahuan anda, X90 dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDi dan sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V.

Sistem itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

Kaboom Karnival 2023 catat kehadiran hampir 100,000 pengunjung

ACARA Kaboom Karnival 2023 yang diadakan di Tanjung Harapan, Klang dari 4 hingga 6 Ogos 2023 telah dimeriahkan dengan kehadiran lebih 400 kenderaan jenis pacuan empat roda dan trak pikap serta lebih 500 motosikal.

Acara yang menggabungkan aktiviti permotoran, peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan anjuran kali ketiga Pertubuhan Penggerak Alam (PEPA) selepas Shah Alam pada Februari dan Pandamaran, Klang pada Jun lalu.

Antara aktiviti menarik untuk edisi kali ini ialah lantikan kelab-kelab permotoran untuk menjadi sukarelawan yang dikenali sebagai Wira PEPA dengan penyerahan plak dan vest sebagai simbolik penyerahan.

Turut diadakan adalah himpunan trak pikap dengan kehadiran pelbagai kelab, pertandingan memancing, sukaneka, permainan merebut kerusi dan pelbagai aktiviti lain sebagai merapatkan lagi persahabatan di antara kelab-kelab ini.

Hari ketiga acara menyaksikan kehadiran lebih 500 buah motosikal untuk Himpunan Pejuang Rider daripada 100 kelab. Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk Autoshow dengan pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Best Supporters Club, Best Of The Best, Best VVIP, Best Sport Rim, Best Restore dan sebagainya.

Pengerusi PEPA, Liza Dalal berkata acara Kaboom Karnival kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Aril Pilus, Serina Redzuawan dan Chot Raja Lawak.

“Sambutan pengunjung juga sangat memberangsangkan dengan kehadiran hampir 100,000 pengunjung yang datang dari pelbagai lokasi dari seluruh negara sepanjang tiga hari acara diadakan,” katanya.

PEPA juga membuka keahlian kepada pengunjung Kaboom Karnival untuk menyertai Wira PEPA bagi tujuan membantu aktiviti komuniti setempat.

Kaboom Karnival edisi keempat bakal diadakan tidak lama lagi di Kelana Jaya. Vendor-vendor serta PKS yang ingin menyertai acara ini boleh menghubungi PEPA di talian 018-967 8980.

Sementara itu, kelab-kelab permotoran yang ingin menyertai Kaboom Karnival pada masa akan datang boleh hubungi Puan Liza di talian 0125028292 atau emel: contactus@pepa.org.my .

BMW 330i M Sport untuk mereka yang gemar memandu – Pandu Uji

SETIAP kali berbual tentang kereta jenis sport sedan, rasanya tiada model lain yang sering menjadi sebutan melainkan BMW 3 Series. Sudah tentu, orang akan bercakap tentang versi yang paling berkuasa dan yang paling popular iaitu M3 namun ketahuilah tidak semua mahu memandu kereta yang hardcore setiap hari.

Untuk golongan ini, varian pertengahan iaitu 330i M Sport adalah yang paling sesuai. Ia masih mempunyai sisi agresifnya tetapi pada masa yang sama, ia masih selesa untuk dijadikan sebagai kereta harian dan boleh juga digunakan untuk membawa seisi keluarga. Pendek kata, ia sebuah kereta all-rounder.

Model yang saya berpeluang pandu uji tempoh hari merupakan model facelift atau LCI (Life Cycle Impulse) dalam bahasa BMW. Dilancarkan ke pasaran Malaysia awal tahun ini, ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan kemas kini dari segi kelengkapan.

Untuk model ini, BMW tidak memberikan 3 Series ‘lubang hidung’ yang terlebih besar seperti M3 dan M4 namun jika diperhatikan dengan teliti, anda akan perasan yang bentuknya lain sedikit berbanding sebelum ini.

Selain itu, rekaan lampu hadapan telah diperkemaskan – ia bukan sahaja lebih tajam dan langsing, malah lekuk pada bahagian bawah juga telah dibuang. Untuk bampar, lampu kabus sudah tiada dan digantikan dengan trim berbentuk J berwarna hitam berkilat.

Dari sisi, tiada perubahan ketara melainkan penggunaan rim aloi lima jejari M Style 848 berukuran 18 inci, manakala di belakang, bahagian bampar didominasi oleh apron berwarna hitam yang menjadi perumah kepada paip ekzos berkembar.

Masuk ke dalam, perubahan paling besar terdapat pada papan pemuka iaitu paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci.

Kedua-dua paparan menggunakan sistem operasi terkini iaitu BMW Operating System 8 yang memberikan kadar segar semula (refresh rate) yang pantas dan grafik yang menarik. Cuma, saya masih kurang berkenan dengan grafik pada kluster instrumen digital yang bagi saya agak berserabut.

Satu lagi perubahan adalah penggunaan suis penukar gear yang kecil molek bagi menggantikan tombol gear konvesional pada model pra-facelift. Tiada masalah pun cuma tombol gear tersebut lebih sedap digunakan berbanding suis baharu ini.

Dari segi kelengkapan, saya berpendapat 330i M Sport LCI mampu memenuhi keperluan pelanggannya. Antara ciri yang disertakan termasuk Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan head-up, pengecas wayarles dan paddle shifter.

Di belakang, terdapat corong pendingin hawa dan dua port USB. Penumpang belakang tidak perlu gusar tentang keselesaan kerana tempat duduk tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang baik. Cuma, ruang kaki mungkin sedikit sempit untuk mereka yang tinggi.

Untuk sistem keselamatan pula, 330i M Sport didatangkan standard dengan pakej Driving Assistant yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front & Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Speed Limit Info, Parking Assistant dengan Lateral Parking Aid.

Adaptive Cruise Control masih tidak ada namun tidak mengapa kerana saya rasakan kebanyakan daripada mereka yang membeli kereta ini lebih gemar menekan pedal pendikit sendiri daripada mengharapkan bantuan komputer.

Kenapa? Secara ringkasnya, 330i M Sport memang seronok dipandu. Penyumbang utama kepada keseronokan ini sudah tentulah enjinnya. Sama seperti model pra-facelift, 330i mempunyai ‘jantung’ 2.0-liter empat silinder turbo dengan 258 PS dan 400 Nm, serta transmisi Stepronic Sport lapan kelajuan.

Lupakan sebentar angka itu kerana kereta ini terasa seperti ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada yang dikatakan. Walaupun hanya dalam mod Comfort, gabungan enjin dan kotak gear tersebut memberikan prestasi yang sudah cukup untuk membuatkan bulu roma saya tegak berdiri kerana ia memecut bagai tiada hari esok.

Dalam mod Sport atau Sport Plus, karakter jentera ini bertukar menjadi lebih agresif dan secara jujurnya, sedikit menakutkan. Pedal pendikit lebih cepat bertindak balas terhadap input daripada kaki, manakala bunyi yang masuk ke dalam ruang kabin menjadi lebih jelas. Kereta ini seolah-olah menghasut saya untuk pergi lebih laju.

Namun apa yang betul-betul suka mengenai trenkuasa ini adalah sifatnya yang versatil. Ia cukup lancar untuk situasi pemanduan harian dan pada masa yang sama, ia juga cukup berkuasa serta boleh memuaskan nafsu serakah anda tanpa sebarang masalah.

Namun harus saya ingatkan bahawa kekuatan kereta ini tidak terletak pada kelajuan semata-mata. Satu  aspek yang telah menaikkan nama 3 Series sejak dahulu lagi adalah pengendalian.

Untuk pengetahuan anda, unit yang dipandu ini dilengkapi dengan sistem suspensi M Sport. Pada Mac 2023, BMW Malaysia telah mengemas kini model dengan sistem suspensi adaptif dengan harga tambahan sebanyak RM2,000.

Anda mungkin sedia maklum bahawa suspensi M Sport agak keras dan tidak boleh dilaras seperti sistem suspensi adaptif. Ini membuatkan ia agak kurang selesa untuk pemanduan harian di kawasan bandar namun di jalan-jalan berselekoh, suspensi ini memang cemerlang.

Ini kerana ia mampu mengurangkan olengan badan walaupun dipandu pada kelajuan yang agak tinggi. Digandingkan pula dengan stereng yang responsif, bahagian hadapan kereta ini boleh dihalakan ke arah yang dikehendaki dengan mudah dan tepat, dan ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih yakin sama ada ketika masuk atau keluar dari selekoh.

Soal cengkaman juga tidak menjadi isu kerana tidak ada sekali pun sedan Jerman ini terasa seperti ia akan hilang keseimbangannya. Jelas sekali ini adalah kelebihan menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 dalam saiz berbeza iaitu 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang.

Sebagai konklusi, saya boleh katakan yang 330i M Sport masih sebuah sport sedan yang sejati dengan reka bentuk yang maskulin dan trenkuasa yang mengujakan. Untuk mereka yang gemar memandu tetapi masih mahukan sedikit kemewahan, praktikaliti dan keselesaan, ini mungkin pilihan yang paling tepat.

Spesifikasi BMW 330i M Sport

Harga: RM317,800
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo
Kotak gear: Steptronic Sport lapan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,000 rpm
Tork: 400 Nm @ 1,550 rpm

Fang Cheng Bao Leopard 5 adalah SUV hibrid plug-in dengan 680 PS daripada BYD

PORTFOLIO jenama yang bernaung di bawah BYD kini semakin berkembang dengan kehadiran jenama baharu yang dikenali sebagai Fang Cheng Bao.

Jenama ini memfokuskan kepada SUV dan diposisikan antara Denza dan YangWang yang merupakan jenama flagship.

Produk pertama Fang Cheng Bao adalah Leopard 5, sebuah SUV off-road dengan nadi hibrid plug-in dengan elemen-elemen reka bentuk yang ‘dipinjam’ daripada beberapa model sedia ada seperti Ford Ranger, Toyota Land Cruiser dan Land Rover Defender.

Apa pun, Leopard 5 kelihata begitu rugged dengan rekaan fender yang bersegi, skid plate aluminium dan tayar simpanan pada bahagian belakang.

Bergantung kepada varian, ia didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar BFGoodrich A/T atau rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport.

Leopard 5 dibina menggunakan kerangka jenis ladder frame dan mempunyai ukuran panjang 4,890 mm, lebar 1,970 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 2,800 mm. Ini bermakna ia lebih kecil sedikit berbanding Land Cruiser Prado baharu.

Menurut laporan, ia mempunyai ruang dalaman yang canggih yang menawarkan konfigurasi lima tempat duduk, paparan head-up sebesar 50 inci, paparan berasingan untuk penumpang hadapan dan sistem audio premium keluaran Devialet.

Untuk trenkuasa, Leopard 5 menampilkan sistem hibrid plug-in DMO (Dual Mode Off-Road) yang merangkumi enjin petrol 1.5-liter dan dua buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 760 Nm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda canggih dengan tiga differential. Dengan bateri BYD Blade berkapasiti 30 kWj, ia menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 125 km atau sehingga 1,200 km jika mengambil kira tangki bahan apinya yang sebesar 80 liter.

Untuk suspensi, model ini dilengkapi dengan teknologi casis Cloud-P yang diambil daripada YangWang U8. Ia menampilkan sistem suspensi hidraulik aktif dengan ketinggian boleh laras namun tanpa ciri prediktif seperti yang terdapat pada U8.

Fang Cheng Bao dilaporkan akan memulakan jualan di China dengan 100 pusat pengedar di 60 buah bandar. Jenama itu juga dijangka akan mengeksport model-model keluarannya ke pasaran luar negara.

Harga jualan dijangka bermula dari 400,000 yuan hingga 600,000 yuan (RM257,166 hingga RM385,749), menjadikannya lebih mahal berbanding kebanyakan model BYD namun jauh lebih murah berbanding model YangWang.

Honda WR-V – 2,200 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan dalam masa sebulan

HONDA Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyerahkan sebanyak 2,200 unit Honda WR-V dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan pada Julai lalu.

Pada masa yang sama, syarikat itu turut meraikan pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan SUV itu iaitu Nurain binti Mohamad dalam satu majlis penyerahan rasmi di Accord Auto Sdn Bhd di Ampang, Selangor.

Sebagai tanda penghargaan, Nurain turut menerima aksesori Honda, Ultra Glass Body Coating dan barangan rasmi bernilai RM5,000.

Hironobu Yoshimura, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia berkata, “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V yang merupakan model serba baharu dalam segmen SUV kecil bukan nasional.”

Menurut beliau lagi, 60 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan WR-V setakat ini disumbangkan oleh varian RS. WR-V juga muncul sebagai model kedua terlaris dalam barisan Honda bagi bulan Julai 2023.

Selain RS, WR-V turut ditawarkan dalam tiga lagi varian iaitu S, E dan V. Sebagai varian tertinggi, WR-V RS tampil dengan gril unik dengan kemasan pin krom, rim aloi dwi tona berukuran 17 inci, lencana ‘RS’ pada gril dan tailgate, serta lampu automatik LED.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang sama, menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.

Gunther Werks Touring Turbo Edition Coupe ada spoiler ekor itik, 750 hp

GUNTHER Werks merupakan salah satu syarikat yang pakar dalam bidang restorasi Porsche. Apa yang anda lihat ini adalah hasil kerja terbaru syarikat dari California itu yang dikenali sebagai Touring Turbo Edition Coupe.

Seperti projek-projek yang pernah dihasilkan sebelum ini, jentera ini merupakan sebuah Porsche 911 daripada generasi 993. ‘Jantung’ asalnya telah dikeluarkan dan digantikan dengan ‘jantung’ 4.0-liter enam silinder yang dibina oleh Rothsport Racing.

Dengan bantuan daripada dua pengecas turbo, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa puncak sebanyak 750 hp. Semuanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan Getrag.

Dari segi penampilan, Touring Turbo Edition Coupe lebih menonjol berbanding jentera-jentera Gunther Werks yang lain dengan adanya spoiler jenis duck tail yang besar. Ia direka untuk mengoptimumkan aliran udara pada bahagian belakang di sekitar ruang enjin.

Kesemua panel badan Touring Turbo Edition Coupe diperbuat daripada gentian karbon dan ini mengurangkan berat badannya sebanyak 227 kg berbanding sewaktu ia keluar dari kilang. Ia juga menggunakan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang untuk penampilan yang lebih moden.

Ruang dalaman turut melalui proses transformasi menerusi penggunaan gentian karbon pada keseluruhan papan pemuka, serta set meter baharu yang merangkumi tachometer berwarna merah pada bahagian tengah.

Bukan itu sahaja, terdapat juga stereng three-spoke yang dibalut Alcantara, sepasang kerusi bucket gentian karbon dengan balutan Alcantara hitam, serta perincian berwarna oren pada stereng, papan pemuka, kerusi dan konsol tengah.

Harga tidak diumumkan namun seperti yang kita sedia maklum, kereta restomod seperti ini bukanlah murah. Entah-entah boleh beli sebuah rumah banglo.

Shell lancar aplikasi mudah alih – boleh tebus bahan api, kumpul mata BonusLink

SHELL Malaysia telah melancarkan aplikasi mudah alih tersendiri yang direka yang membolehkan pelanggan mengisi minyak dengan lebih mudah dan membuat pembayaran dengan lebih selesa tanpa perlu keluar dari kereta.

Dinamakan Shell App, ia dilengkapi dengan sistem pengesahan keselamatan 3-D Secure sebagai jaminan kepada pengguna untuk pengalaman yang lebih selesa dan bebas daripada ancaman penipuan siber.

Dengan Shell App, pelanggan kini boleh menebus bahan api atau croffle kegemaran mereka sambil mengumpul mata ganjaran. Menerusi integrasi BonusLink di dalam aplikasi itu, pelanggan boleh mengumpul mata BonusLink daripada 3,000 peniaga, pada masa yang sama tebus ganjaran eksklusif dari Shell.

Selain itu, aplikasi ini turut menawarkan promosi dan tawaran yang diubah suai mengikut cita rasa mereka. Pengguna Shell App juga boleh memantau setiap perbelanjaan dan mata BonusLink yang terkumpul dalam aplikasi ini.

Pelanggan juga boleh menggunakannya untuk meninjau lokasi stesen-stesen Shell berdekatan serta fasiliti dan kemudahan yang tersedia seperti surau, ATM, Shell café atau pusat cuci kereta.

“Shell App bukan hanya memudahkan pelanggan kami untuk membuat pembayaran minyak dengan lebih selamat dari dalam kereta, malahan memastikan perjalanan mereka lebih mudah dan memberi lebih ganjaran. Harapan kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang menyeluruh dan menjadikan segalanya lebih selesa untuk anda,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar, Mobiliti, Malaysia.

Shell App kini boleh digunakan di 650 stesen minyak Shell dan dijangka tersedia di seluruh negara menjelang akhir tahun 2023. Untuk muat turun, layari Apple App Store dan Google Play.

Lamborghini Lanzador mempunyai kuasa mencecah 1 megawatt, bakal muncul pada 2028

LAMBORGHINI mungkin terkenal dengan supercar berenjin V12 namun seperti kebanyakan pengeluar kenderaan yang lain, ia tidak dapat lari dari era elektrifikasi. Memperkenalkan model elektrik pertama dari Sant’Agata Bolognese – Lamborghini Lanzador.

Diperkenalkan di Monterey Car Week, Lanzador masih dalam peringkat konsep namun apa yang anda lihat ini boleh dikatakan hampir 100 peratus sama dengan versi produksi yang akan dikeluarkan pada 2028.

Ia bukan sebuah supercar yang rendah seperti Aventador tetapi sebuah grand tourer yang mempunyai jarak lega bumi yang tinggi dan konfigurasi tempat duduk 2+2.

Sebagai sebuah kereta konsep, perincian mengenai trenkuasa elektriknya masih belum didedahkan. Apa yang Lamborghini beritahu setakat ini adalah Lanzador dilengkapi dengan satu motor elektrik pada setiap gandar dan mempunyai kuasa puncak sebanyak 1 megawatt atau 1,341 hp.

Seperti Huracan Performante and Aventador SVJ, ia dilengkapi dengan sistem Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) yang bertindak untuk mengawal komponen aerodinamik seperti splitter, bilah udara pada bahagian belakang dan diffuser.

Selain itu, terdapat juga sistem suspensi udara dan sistem kawalan stereng gandar belakang yang boleh dilaraskan secara automatik mengikut kondisi jalan raya atau mengikut setting yang ditetapkan oleh pemandu menerusi butang kawalan pada stereng.

Oleh kerana ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, Lanzador secara automatik mempunyai sistem pengagihan tork yang berfungsi untuk mengira jumlah tork yang diperlukan untuk setiap gandar dan juga roda.

Dari segi penampilan, Lanzador sememangnya sebuah jentera Lamborghini yang tipikal dengan rekaan luaran yang berani dan menonjol. Sebahagian daripada elemen rekaannya diinspirasikan daripada model-model seperti Sesto Elemento, Murcielago dan Countach LPI 800-4.

Ruang dalamannya pula menampilkan konsep reka bentuk yang membuatkan pemandu terasa seperti juruterbang. Pemandu dan penumpang dipisahkan oleh papan pemuka berbentuk ‘Y’ dengan konsol tengah yang terapung, namun masing-masing mempunyai paparan digital sendiri.

Tidak ada skrin infohibur pada konsol tengah, sebaliknya terdapat butang dan suis futuristik yang boleh digunakan untuk mengawal fungsi-fungsi tertentu.

Ruang kabin Lanzador juga menggunakan material mesra alam seperti bulu biri-biri Merino pada papan pemuka, tempat duduk dan panel pintu, benang yang dikitar semula dari nylon dan plastik, gentian kitar semula pada tempat duduk dan karbon janaan semula.

MINI JCW Bulldog Racing Edition tampil dengan rim OZ, suspensi KW V3

MINI akan memperkenalkan model generasi baharunya tidak lama lagi namun sebelum itu, syarikat itu telah memperkenalkan satu lagi edisi khas bagi model generasi sedia ada ini.

Dikenali sebagai Bulldog Racing Edition, model ini meraikan kejayaan sebuah pasukan lumba persendirian dari Nurburg, Jerman iaitu Bulldog Racing. Pasukan tersebut berjaya mendapat tempat kedua dalam cabaran 24 Hours Nurburgring tahun ini untuk kelas kereta produksi dengan enjin turbo 1,600 hingga 2,000 cc.

Model Bulldog Racing Edition ini menggunakan model John Cooper Works tiga pintu sebagai asas. Ia mendapat pelbagai pengubahsuaian termasuk penggunaan sistem suspensi KW V3 yang telah ditala khusus di litar Nurburgring untuk pengendalian yang lebih mantap.

Sayangnya, enjin 2.0-liter turbo yang digunakan masih kekal dengan 231 hp dan 320 Nm namun sekurang-kurangnya bunyi yang dihasilkan lebih sedap terima kasih kepada sistem ekzos baharu keluaran Remus.

Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Bercakap tentang roda, model ini didatangkan dengan rim OZ HyperGT berukuran 17 inci yang dibalut tayar Pirello P Zero dalam saiz 205/45 R17.

Selain rim berkenaan, ciri yang menjadikan model ini berbeza dengan versi standard adalah logo pasukan Bulldog Racing pada bahagian bumbung, sisi dan tailgate.

Di dalam, kerusi belakang telah dikeluarkan dan digantikan dengan strut untuk pengurangan berat. Selain itu, anda juga akan menemui plak dengan nombor siri pengeluaran di bawah tuil brek tangan dan pada papan pemuka.

Jumlah pengeluaran tidak diberitahu namun menurut Alexander Schabbach, pengarah urusan Bulldog Racing, setiap unit boleh dikustomkan mengikut citarasa pelanggan.

“Model khas kami menunjukkan pengubahsuaian yang boleh dilakukan pada kereta ini. Kami juga berbesar hati kerana dapat menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan dengan MINI dari generasi semasa mulai 2014 dan seterusnya”, katanya.

Skuter Zontes 350 Series dilancarkan di Malaysia, ada varian urban dan touring

ZONTES Distribution Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi motosikal Zontes di Malaysia, hari melancarkan skuter Zontes 350 Series baharu.

Model skuter itu boleh didapati dalam dua varian iaitu 350D dan 350E. Kedua-duanya dikuasakan enjin 349 cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair dan teknologi suntikan bahan api. Enjin tersebut menghasilkan 36 hp dan 38 Nm yang disalurkan ke roda menerusi kotak gear jenis CVT automatik.

Direka untuk mobiliti urban, varian 350D mempunyai badan yang lebih langsing dan ringan dengan berat keseluruhan 190 kg. Ia dilengkapi dengan tangki bahan api 12 liter yang dikatakan mampu memberikan jarak tunggangan sejauh 400 km dalam mod ECO.

Sementara itu, varian 350E pula direka untuk tunggangan jarak jauh. Ia mempunyai ukuran tapak roda yang lebih panjang iaitu 1,565 mm (160 mm lebih panjang berbanding 350D) serta tangki bahan api yang lebih besar iaitu 16 liter, dengan jarak tunggangan sekitar 457 km.

 

Selain itu, varian ini juga lebih berat iaitu 203 kg. Ruang storan di bawah tempat duduknya lebih besar iaitu 50 liter dan boleh memuatkan dua topi keledar full face, manakala dua ruang simpanan kalis air yang besar di bahagian depan pula dapat memuatkan empat botol air 500 ml.

Hendal aloi aluminium bersepadu 350E boleh dilaraskan dalam dua gear (depan dan belakang), manakala sarung hendal yang dipanaskan dapat mengekalkan keselesaan tangan dan jari penunggang dalam cuaca sejuk.

Ciri-ciri standard yang disertakan pada kedua-dua varian termasuk sistem keyless 3.0, paparan TFT berwarna berukuran 6.7 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar, penghadang angin boleh laras secara elektronik, serta dua port pengecas pantas 18W Type A dan Type C.

Untuk keselamatan pula, terdapat cakera brek pada bahagian hadapan dan belakang dengan angkup empat omboh J.Juan, ABS dwi-saluran, Traction Control, Tyre Pressure Monitoring System dan lampu LED Osram.

Harga jualan bermula dari RM23,800 untuk 350D dan RM25,800 untuk 350E. Skuter tersebut didatangkan dengan waranti am selama dua tahun atau 20,000 km dan untuk komponen enjin, disediakan waranti selama tiga tahun atau 30,000 km.

Trak pikap EV Fisker Alaska akan muncul pada 2025, tawar jarak gerak sehingga 547 km

SEGMEN trak pikap elektrik nampaknya semakin lama semakin rancak. Setakat ini, kita dah lihat kehadiran model-model menarik seperti Tesla Cybertruck, Rivian R1T, Ford F-150 Lightning dan Hummer EV.

Pada 2025, akan muncul satu lagi pesaing dalam segmen tersebut iaitu Fisker Alaska. Menurut Fisker, trak pikap EV itu akan dijual pada harga bermula dari USD45,400 (RM210,837) sebelum insentif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fisker, Henrik Fisker berkata Alaska bakal menjadi trak pikap EV yang paling ringan dan paling lestari dalam pasaran. Ia dikatakan mempunyai ruang dalaman vegan dengan material yang diperoleh dari sumber beretika untuk upholsteri, karpet dan panel.

Salah satu ciri Alaska yang paling menonjol adalah bed belakang Houdini yang boleh dipanjangkan dari 4.5 kaki (1,372 mm) kepada 9.2 kaki (2,286 mm) menggunakan penghadang elektrik yang terletak di belakang kerusi belakang. Bed tersebut boleh dipanjangkan lagi sehingga 9.2 kaki (2,804 mm) jika tailgate diturunkan.

Ciri-ciri lain yang ditawarkan oleh Alaska termasuk rel bumbung, ruang storan berpenebat pada bahagian hadapan, pemegang cawan besar “big gulp”,  pemegang tablet untuk penumpang dan tali pengikat pada bahagian bumbung yang bertindak sebagai pemegang topi koboi.

Dari segi saiz, trak pikap yang dibina menggunakan platform FM31 ini mempunyai ukuran panjang 17.4 kaki (5,304 mm), menjadikan ia lebih pendek berbanding Cybertruck dan F-150 Lightning. Rim boleh didapati dalam saiz 20 dan 22 inci.

 

Fisker akan menawarkan Alaska dengan dua pilihan saiz bateri, 75 kWj dengan jarak pandu 370 km dan 113 kWj dengan jarak 547 km. Dari segi prestasi pula, trak pikap ini dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dari 3.9 saat hingga 7.2 saat, bergantung kepada varian.

Fisker berkata Alaska akan dipasang di Amerika Syarikat namun lokasi sebenar kilang pemasangannya tidak didedahkan. Fasa produksi dijangka bermula pada suku pertama 2025 namun pelanggan yang berminat sudah boleh mula membuat tempahan dengan bayaran USD250 (RM1,160).

10 maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina – Polis

POLIS telah mengesahkan 10 orang maut dalam nahas jet peribadi di Bandar Elmina, Shah Alam, lapor MalayMail. Difahamkan, jumlah ini membabitkan lapan penumpang dalam pesawat itu dan dua lagi pengguna jalan raya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV telah terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis, 17 Ogos 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud, pesawat yang dioperasikan oleh Jetvalet Sdn. Bhd. itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Menurut beliau lagi, hubungan pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2:47 petang dan pelepasan pendaratan diberi pada pukul 2:48 petang.

“Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berpunca daripada lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday yang dibuat oleh pesawat itu. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat,” katanya.

Seramai enam penumpang dan dua kru penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan dan keadaan mereka masih belum disahkan pada masa ini.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.